gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Your Title Goes Here

TUTONG, Khamis, 26 November 2026 – Majlis Menyantuni Anak-Anak Yatim anjuran bersama Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong (MHBPT) dan Majlis Perundingan Kampung Panchor, Tutong (MPKPT) sempena Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong telah berlangsung di Dewan Solat Utama, Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Ustaz Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, Timbalan Menteri Pendidikan, selaku Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei.

Pada majlis tersebut, Tetamu Kehormat telah menyampaikan sumbangan hasil kutipan derma daripada orang ramai, khususnya penduduk di sekitar Daerah Tutong serta jemaah Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong kepada seramai 20 orang anak yatim di bawah tadahan Mukim Pekan Tutong.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Sahibul Omar bin Haji Yusof, Imam Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Mohammad Adib bin Pehin Datu Indera Setia Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Sulaiman, Ketua Kampung Panchor, selaku Pengerusi Bersama Majlis. Dalam ucapannya, beliau menyentuh mengenai kemuliaan dan keutamaan menyantuni serta menyayangi anak-anak yatim sebagaimana yang dianjurkan dalam agama Islam. Beliau turut mengingatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri telah membesar sebagai seorang anak yatim, dan terdapat hadis-hadis sahih yang menjelaskan ganjaran besar bagi mereka yang memelihara serta menyantuni anak-anak yatim, termasuk kedudukan yang dekat dengan Baginda di syurga kelak.

Beliau turut menegaskan bahawa majlis seumpama ini bukan sahaja menjadi wadah untuk menghulurkan bantuan, malah mengingatkan masyarakat tentang nilai kasih sayang, keprihatinan dan keikhlasan dalam membantu golongan yang memerlukan.

Atur cara majlis turut diisikan dengan Solat Fardu Maghrib berjemaah, bacaan Tahlil serta ceramah bertajuk “Menyantuni Anak Yatim” yang disampaikan oleh penceramah undangan, Yang Mulia Ustaz Fariszal bin Ali, Penolong Kaunselor, Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Negara Brunei Darussalam, sebelum diteruskan dengan Solat Fardu Isyak berjemaah.

Antara perkara yang diketengahkan dalam ceramah tersebut ialah kepentingan memahami konsep sebenar menyantuni anak-anak yatim, yang bukan hanya terbatas kepada pemberian bantuan kewangan atau material, tetapi hendaklah disertai dengan keikhlasan, kasih sayang dan niat yang tulus semata-mata kerana Allah Subhanahu Wata’ala demi mengharapkan keredaan-Nya. Di samping itu, masyarakat juga diingatkan agar sentiasa memelihara kewajipan agama, mensyukuri segala nikmat rezeki yang dikurniakan serta tidak mengabaikan tanggungjawab dalam membantu golongan yang memerlukan.

Penganjuran majlis ini mencerminkan keprihatinan dan tanggungjawab sosial pihak penganjur serta masyarakat setempat terhadap kebajikan anak-anak yatim, khususnya di sekitar Mukim Pekan Tutong. Inisiatif ini juga dihasratkan dapat memupuk nilai kasih sayang, semangat saling membantu dan memperkukuh hubungan silaturahim antara pihak penganjur dengan masyarakat setempat.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada Tetamu Kehormat Majlis oleh Pengerusi Bersama Majlis, diikuti dengan sesi bergambar ramai.