Your Title Goes Here
TUTONG, SABTU, 25 APRIL 2026 – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Tanjong Maya dan Lubok Pulau dengan kerjasama Takmir Masjid Tanjong Maya, Persatuan Kampung Tanjong Maya (PERTAMA) serta KO-PERTAMA akan menganjurkan Majlis Ramah Mesra sempena Hari Raya Aidilfitri dan menjelang Hari Raya Aidiladha.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri. Majlis malam ini diadakan di Dewan Kemasyarakatan Kampung Tanjong Maya, di sini, menghimpunkan penduduk kampung serta para jemputan dalam usaha mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
Penganjuran majlis berkenaan bertujuan untuk mengekalkan amalan ziarah dan silaturahim bukan sahaja pada Syawal, malah untuk diteruskan sepanjang tahun, memandangkan hubungan yang erat antara penduduk merupakan asas kepada keharmonian dan kesejahteraan komuniti.
Selain itu, majlis juga bertujuan untuk mengingatkan hadirin mengenai makna sebenar Sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelang, khususnya dari segi nilai pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata’ala.
Di samping itu, doa dipanjatkan agar jemaah haji dipermudahkan segala urusan serta dikurniakan haji yang mabrur. Pelbagai aktiviti turut diadakan bagi memeriahkan majlis, antaranya persembahan tausyeh, silat dan tarian budaya, nyanyian, cabutan bertuah serta pertandingan ‘booth’ yang melibatkan penyertaan aktif daripada wakil-wakil jalan kampung termasuk Jalan Tanjong Maya, Lubok Meranti, Jalan Kecil Sepakon, Jalan Bukit Nibong, Jalan Bangunggos, Jalan Sebakit (Atas dan Bawah) serta Jalan Mandian Puteri.
Majlis juga diserikan dengan penglibatan Kumpulan Seni Warisan Silat dan Seri Budaya Tari yang menampilkan persembahan kebudayaan tradisional, sekali gus menyemarakkan usaha memelihara dan memartabatkan warisan budaya tempatan.
Dalam pada itu, masyarakat diseru untuk terus memainkan peranan aktif dalam pembangunan komuniti. Ditekankan bahawa tanpa usaha, penglibatan dan komitmen yang berterusan, sesebuah komuniti tidak akan mampu mencapai kemajuan yang diharapkan.
Majlis ini juga dijangka menjadi platform penting dalam menggalakkan penyertaan golongan belia serta memastikan warisan budaya seperti seni silat, tarian tradisional dan semangat kesukarelawanan terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang, sekali gus mengukuhkan semangat kebersamaan komuniti ke arah pembangunan yang lebih mampan selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.